Menurut Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, graduan lepasan politeknik sentiasa menjadi buruan majikan meskipun ketika negara dilanda pandemik Covid-19. Berdasarkan Laporan Kajian Pengesanan Graduan, kadar kebolehpasaran graduan politeknik melebihi 90 peratus bagi tempoh 5 tahun lalu.

Pada tahun 2018, kadar kebolehpasaran graduan politeknik direkodkan sebanyak 96.1% sementara pada tahun 2019 pula ialah 96.7%. Walaupun pada tahun 2020 terdapat sedikit penurunan kesan daripada pandemik Covid-19, kadar kebolehpasaran graduan politeknik masih melepasi catatan nasional iaitu 91.2%.

Bagi memastikan kurikulum pendidikan politeknik sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi terkini, pembabitan industri secara aktif amat diperlukan supaya kurikulum yang dibangunkan bersifat kurikulum berteraskan industri. Beberapa pendekatan pembelajaran berasaskan ‘industry-led‘ dirangka antaranya seperti program WBL@PolyCCStructured Internship Programme (SIP), CEO@PolyCC dan Industry on Campus (IOC). Sebanyak 7 program pendekatan WBL@PolyCC, yang mengintegrasikan pembelajaran akademik dan pengaplikasian pembelajaran sebenar di tempat kerja telah dilaksanakan. Program CEO@PolyCC diteruskan dengan pelantikan 31 tokoh industri yang akan berkongsi ilmu pengetahuan dan pengalaman berharga mereka dengan pelajar politeknik.

Sebanyak 21 industri telah menawarkan SIP kepada 2,188 penuntut tahun akhir untuk menjalani latihan industri dan seterusnya menawarkan mereka penempatan pekerjaan dan antara pihak industri terlibat adalah Maybank dan Talent Corp.

Majlis Penasihat Industri JPPKK adalah platform peneraju kepada industri dalam memberikan maklum balas dan cadangan yang berkaitan dengan penambahbaikan ekosistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang