Kegagalan menganalisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan akan meningkatkan risiko kemalangan di tempat kerja. Tempat kerja yang selamat dan sihat iaitu bebas dari risiko kemalangan dan penyakit pekerjaan adalah menjadi idaman semua pihak yang terlibat baik majikan mahupun pekerja. Mana-mana pekerja akan berasa aman dan selesa untuk bekerja di sesebuah organisasi yang majikannya sentiasa menitik beratkan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP). Dalam masa yang sama, kadar kemalangan industri yang rendah juga memberikan imej yang baik untuk negara, sekaligus menarik minat industri asing untuk melabur dalam negara. Majikan yang mengabaikan aspek KKP serta gagal menganalisis risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan akan meningkatkan risiko kemalangan di tempat kerja.
Laporan pihak PERKESO Tahun 2017 membuktikan bayaran faedah meningkat. Menurut statistik, kemalangan di tempat kerja di Malaysia yang dilaporkan pada tahun 2017 adalah 42,513 kes iaitu bersamaan 116 kes setiap hari. Manakala kemalangan maut pula ialah 711 kes iaitu bersamaan 2 kes setiap hari. Kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah mengeluarkan sebanyak RM 3.27 bilion bagi tujuan bayaran pampasan kepada mangsa yang terlibat. Hal ini membuktikan bahawa setiap kemalangan yang berlaku melibatkan kos yang tinggi dan seterusnya merugikan pihak yang terjejas, samada secara langsung atau tidak langsung.
Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2020 bertindak dalam usaha menjadikan tempat kerja selamat, sihat dan bebas dari kemalangan dan penyakit, Kerajaan telah meluluskan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (DKKPN). DKKPN menetapkan 9 komitmen Kerajaan yang bertujuan meningkatkan tahap KKP di Malaysia. Usaha ini adalah selaras dengan Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (OSHMP 2020) dalam memberi tumpuan penerapan nilai budaya pencegahan (preventive culture) bagi memperkukuhkan lagi pembentukan “Budaya Kerja Sihat dan Selamat” di kalangan majikan dan pekerja. Sudah tiba masanya penerapan budaya selamat (safety culture) dimulakan di peringkat lebih awal seperti di peringkat pra sekolah dan bukan semata-mata di tempat kerja. Keselamatan dan kesihatan pekerjaan adalah tanggungjawab semua. Justeru, semua pihak sama ada pekerja, majikan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kerajaan perlu bersama-sama memainkan peranan dalam menjalankan program dan aktiviti yang menyumbang ke arah pengurangan kemalangan dan penyakit dalam dunia pekerjaan.
Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang