Kreativiti dan inovasi adalah dua perkara yang diperlukan dalam semua bidang kehidupan manusia. Sama ada berkaitan dengan urusan kehidupan biasa atau dalam bidang kerjaya. Kedua-dua elemen ini memberikan impak yang besar kepada kemajuan seseorang individu dan organisasi. Oleh itu, kedua-duanya menjadi agenda yang besar dan sangat diambil berat oleh sektor kerajaan serta sektor swasta. Banyak usaha yang dilakukan untuk meningkatkan kreativiti dan daya inovasi dalam kedua-dua sektor itu.
Kreativiti ialah kebolehan atau keupayaan mencipta, mewujud dan menghasilkan sesuatu yang baharu atau dalam bentuk baharu dan asli. Kreativiti memerlukan daya imaginasi tinggi, penerokaan dan kebolehan membina hubungan baharu terhadap maklumat lama dan sedia ada. Kreativiti pula boleh menghasilkan inovasi iaitu idea atau cara untuk menambah baik proses atau cara lama yang lebih efektif dan berkesan atau lebih menarik. Melalui inovasi, kita perlu menggunakan minda kreatif dan daya imaginasi tinggi. Kedua-dua elemen ini sangat diperlukan untuk membawa negara ke arah kemajuan dan berdaya saing.
Sebelum ini kerajaan melalui semua jabatan sentiasa mengadakan kursus dan bengkel untuk menerapkan elemen kreatif dan inovatif dalam bidang perkhidmatan serta penghasilan produk. Sebagai contoh, dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010) dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) yang menekankan pembangunan modal insan yang kreatif dan inovatif serta kemahiran berfikir. Begitu juga dalam bidang keusahawanan untuk menghasilkan produk kompetitif.
Islam sangat menuntut setiap kerja atau amalan dilaksanakan dengan terbaik. Bahkan, seluruh kehidupan adalah ibadat kepada Allah SWT. Oleh itu, setiap aspek kehidupan hendaklah dilaksanakan dengan baik supaya mendapat ganjaran setimpal daripada Allah SWT. FirmanNya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” Surah al-Zaariyaat, ayat 56
Allah SWT juga sangat menyukai hamba-Nya yang melaksanakan tugas dengan bersungguh-sungguh dan terbaik (itqan). Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah SWT mencintai seseorang yang melaksanakan amalan dan tugasnya dengan itqan.” Riwayat Tabrani Kedua-dua elemen kreativiti dan inovasi adalah termasuk dalam maksud itqan yang disebut Rasulullah SAW. Oleh itu, kedua-duanya mestilah diterapkan dalam kehidupan supaya kita dicintai Allah SWT. Apabila dicintai Allah, akan bertambahlah keberkatan dan dipermudahkan segala urusan.
Kita melihat kreativiti dan inovasi dalam pelbagai aspek kehidupan di negara kita. Pertandingan reka cipta yang berteraskan kreativiti dan inovasi banyak dianjurkan bagi memupuk semangat pelajar, pekerja dan organisasi kerajaan serta swasta. Bukan setakat dalam negara, bahkan di peringkat antarabangsa juga banyak ciptaan baharu yang berasaskan kreativiti dan inovasi. Antaranya, yang terkini ciptaan robot penghantar makanan di restoran dan penghantar air zamzam di Masjidil Haram.
Ketika pandemik Covid-19 melanda, kita menyaksikan banyak lagi kreativiti dan inovasi yang berlaku. Bermula dengan bidang pendidikan, perniagaan, perkhidmatan sehinggalah kepada bidang kehidupan biasa. Kaedah Bekerja Dari Rumah (BDR), Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), perniagaan dalam talian dan sebagainya adalah antara aspek yang banyak elemen kreativiti serta inovasi. Bukan lagi seperti kebiasaan, tetapi sentuhan teknologi ICT dan digitalisasi digunakan secara optimum.
Contoh paling jelas ialah dalam bidang pendidikan. Apabila berlakunya PdPR, guru dan murid beralih kepada teknologi digital. Guru pastinya memerah otak bagi menyampaikan pengajaran yang berkesan. Pelbagai kaedah pengajaran digunakan untuk menyampaikan ilmu dan pengetahuan. Mereka tidak lagi bergantung hanya kepada papan tulis dan buku teks fizikal. Malah, mereka terpaksa mereka cipta alat dan media bantu pengajaran secara kreatif untuk menjamin proses PdPR lancar dan berjaya.
Kita juga menyaksikan bagaimana dalam bidang perdagangan terlalu banyak kreativiti dan inovasi berlaku. Jika sebelum ini hanya beberapa syarikat menawarkan perkhidmatan menghantar produk, kini terlalu banyak yang menawarkan produk secara hantaran terus ke kediaman. Bayaran pula secara online. Jika tidak berlaku inovasi dalam perkhidmatan seperti ini pasti banyak pihak akan terkesan dengan situasi sekarang. Inovasi dalam penghasilan produk juga berlaku dengan baik. Semuanya berlaku dengan daya kreativiti dan inovasi pengusaha kita.
Masyarakat kita perlu bergerak maju ke arah dunia yang lebih mencabar. Sepatutnya pengajaran yang didapati daripada situasi pandemik yang dihadapi oleh semua peringkat masyarakat daripada kanak-kanak di sekolah rendah hingga ke peringkat pengajian tinggi, daripada orang perseorangan sehinggalah kepada syarikat dan jabatan kerajaan mengubah paradigma masyarakat kita. Kita perlu melangkah ke dunia moden yang serba canggih dengan teknologi terkini dalam semua bidang kehidupan dengan yakin setelah kita menjalani kehidupan secara norma baharu.
Kehidupan pada era digital dan komunikasi secara maya menuntut kita lebih bersedia. Dunia akan datang pasti hadir dengan cabaran lebih besar yang menuntut masyarakat bersedia menghadapi dunia global dengan kemahiran terkini. Tambahan dengan perasmian Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara (4IR) yang menggabungkan dunia digital, fizikal dan biologi merangkumi empat teras utama dan lima teknologi teras yang melibatkan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), blockchain dan teknologi lejar teragih (DLT), bahan termaju dan disokong oleh pengkomputeran awan (cloud computing) dan analisis data raya (BDA).
Daya kreativiti dan inovasi adalah petanda baik kemajuan negara. Masyarakat kreatif dan inovatif akan menghasilkan perkhidmatan, produk dan modal insan bermutu serta berdaya saing yang mendokong dasar ini, seterusnya melonjakkan negara ke mercu kemajuan dalam masa yang terdekat.
Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang