Perkembangan Revolusi Industri 4.0 memberikan kesan secara langsung kepada pelbagai bidang termasuk bidang pendidikan kerana menjadi asas kepada penyedia tenaga kerja di masa hadapan. Oleh itu, penekanan terhadap sektor pendidikan merupakan satu keperluan agar tenaga kerja yang dihasilkan melalui sistem pendidikan negara dapat memenuhi keperluan pasaran pekerjaan berteraskan Revolusi Industri 4.0.

Pada ketika ini, cara penyampaian pengajaran melibatkan white board dengan menyalin nota dan sesi kuliah atau kelas yang panjang sudah lapuk serta mungkin kurang berkesan terutamanya dengan kewujudan teknologi baharu yang menjadi gaya hidup generasi kini. Sistem pendidikan negara perlu mengorak langkah ke arah pengajian yang dipandu teknologi digital yang lebih bersifat interaktif dan fleksibel.

Oleh itu, warga pendidik terutamanya perlulah melengkapkan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat serta komunikasi (ICT) bagi membolehkan mereka mendepani cabaran Revolusi Perindustrian 4.0.  Warga pendidik perlu memiliki kefahaman yang jelas mengenai teknologi terkini untuk memantapkan lagi sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) seterusnya dapat membantu melaksanakan sesuatu perancangan yang telah diaturkan oleh kerajaan mahupun kementerian.

Perkembangan Revolusi Industri 4.0 memberi kesan secara langsung kepada pelbagai bidang

Sistem pembelajaran yang fleksibel dan interaktif seperti mengadakan smart class room perlu diperluaskan tidak kira di peringkat sekolah rendah, sekolah menengah mahupun institusi pengajian tinggi agar proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik serta mampu merangsang minat pelajar sekalis gus dapat membantu meningkatkan prestasi akademik para pelajar. Bagi pelajar institusi pendidikan tinggi pula, kaedah pelaksanaan P&P secara dalam talian di antara pensyarah dengan pelajar juga boleh diaplikasikan agar pembelajaran tidak hanya tertumpu dalam dewan kuliah semata-mata.

Justeru itu, pihak kementerian berperanan untuk menyediakan tenaga pengajar dengan memberi pendedahan kepada teknologi-teknologi semasa serta menawarkan kursus-kursus yang relevan dengan teknik pembelajaran selaras dengan Revolusi Industri 4.0. Selain itu juga, pihak kementerian perlu memilih teknologi yang terbaik dan praktikal untuk melengkapi proses P&P dan tidak menyukarkan para pendidik untuk menggunakan teknologi tersebut.

Penggunaan gajet pintar di dalam kelas akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih efektif

Kesimpulannya, kemajuan teknologi Revolusi Industri 4.0 akan terus memberikan kesan dalam kehidupan manusia akan datang dan perubahan ini tidak dapat dielakkan. Sistem pendidikan cara konvensional sudah tidak praktikal untuk diteruskan dalam era ini kerana suasana pembelajaran ketika ini sangat berbeza. Dengan berkembangnya teknologi maklumat, kesemua maklumat boleh dicapai hanya dihujung jari dan secara tidak langsung, warga pendidik bukan lagi sumber utama penyampai maklumat. Oleh itu, sebagai warga pendidik, mereka perlu mengadaptasi kaedah baharu pengajaran selari dengan perkembangan pantas teknologi demi menyediakan generasi yang mempunyai daya kreativiti dan inovasi selain mempunyai kecekapan dalam menggunakan teknologi untuk mendepani cabaran Revolusi Industri 4.0.

Kredit : Admin Nadi Negara