Seramai 18 pelajar SK Chengal Lempong, Kuantan PAHANG berpeluang membuat lawatan mempelajari dan menimba pengalaman berharga melalui pameran & pertandingan International iCE-CInno 2022 yang dianjurkan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan beberapa rakan usahasama lain dari pelbagai sektor luar.
Program tersebut bertujuan membudayakan kreativiti dan inovasi dalam kalangan pelajar sekolah, pelajar kolej & IPT dan juga dikalangan para pensyarah dan orang awam mengenai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Menurut GPK Hal Ehwal Murid, SK Chengal Lempong, Cikgu Rusmawati Arman juga dikenali sebagai Cikgu As, pelajar yang mengikuti program itu melahirkan keterujaan kerana dapat mempelajari pelbagai ilmu dan inovasi terkini terutama berkaitan teknologi komputer, asas elektrik dan elektronik.
“Saya mewakili warga sekolah sangat bersyukur dan merasa bangga kerana seramai 8 orang murid kami telah menyertai pertandingan ini. Walaupun kami dari sekolah yang baru beroperasi sejak 2020, tapi kami mampu membawa wakil untuk sama-sama bertanding dan berada pada aras yang setanding dengan sekolah hebat yang lain. Sesungguhnya anak-anak SKCL sangat berani dan yakin dengan kebolehan dan bakat masing-masing.” Ujar Cikgu As
“Saya berharap akan lebih banyak lagi program sebegini dapat dilaksanakan di masa akan datang dalam menarik pelajar meminati STEM,” ujarnya lagi.
Sementara itu, peserta program, adik Luqman Aleef yang merupakan pelajar Tahun 5 berkata, program tersebut banyak membantunya memberi pendedahan untuk lebih yakin tampil dengan idea baru di masa akan datang.
Ia juga memberi pengalaman berharga kepada adik Luqman dan juga rakan-rakan kumpulannya untuk lebih yakin berkomunikasi dengan pelbagai lapisan masyarakat dalam mengenengahkan inovasi yang dihasilkan.
“Di sekolah dan di rumah, saya sangat gemar mempelajari tentang asas teknologi komputer, elektrik dan elektronik. Saya pun suka subjek Sains serta Reka Bentuk dan Teknologi (RBT), jadi saya ingin mendalami ilmu ini supaya saya dapat menghasilkan suatu inovasi yang menarik di masa akan datang, seterusnya dapat mengharumkan nama sekolah.” Ujar Adik Luqman
Bagi anda yang berminat untuk menyertai pertandingan Inovasi, boleh dapatkan maklumat berkaitan Inovasi disini.
Sumber
didikbijak.com
Intan Hazlina,
Pensyarah Kanan POLISAS