Sekarang memang ramai yang ambil kesempatan menghabiskan sisa baki cuti tahunan untuk pergi melancong. Anda juga mungkin sudah merancang untuk bercuti dalam tempoh yang agak lama kan?

Apabila pergi bercuti maka kita pun harus meninggalkan kereta di rumah atau pun di tempat meletak kenderaan.

Ada satu perkara yang harus anda lakukan apabila ingin tinggalkan kereta dalam jangka masa yang lama. Kalau terlupa nak buat perkara ini ia mungkin akan menyusahkan serta menelan belanja untuk anda baikinya jika berlaku kerosakan.

ELAK BATERI ‘KONG’

Perkara yang dimaksudkan ialah menanggalkan sambungan bateri pada kereta. Sebagai pemilik kereta, anda sangat digalakkan untuk menanggalkan sambungan kabel bateri pada terminal jika kereta ditinggalkan lama atau tidak digunakan.

 

Bagi menanggalkannya anda memerlukkan spannar. Ia untuk melonggarkan nat pada bahagian terminal bateri dan mencabut terus sambungan ke bateri.

Namun ada beberapa perkara perlu yang anda perlu berikan perhatian ketika melakukan kerja-kerja ini iaitu:

Pertama sekali anda perlu pastikan kedudukan bateri dalam posisi selamat dan pastikan sambungannya tidak menyentuh lantai atau sebarang sambungan positif. Untuk lebih selamat anda juga boleh membalutnya pada bahagian hujung sambungan agar ia tidak menyentuh mana-mana bahagian lain ketika anda tiada di rumah.

Jika hujung kabel menyentuh terminal negatif ia boleh menyebabkan berlakunya percikan api dan sekali gus boleh menjadi punca kebakaran.

Selain itu, satu perkara yang perlu anda tahu bila menanggalkan sambungan bateri ialah ia akan ‘reset’ semua sistem elektronik dan setting-nya dalam kereta. Jadi bersedialah untuk set semula jam, tetapan radio dan juga sistem berkaitan.

Perlu ingat untuk menanggalkan sambungan bateri anda hanya perlu membuka kabel pada sambungan port negatif. Dan jangan sesekali biarkan kabel negatif dan positif bersentuhan dalam apa jua keadaan sekali pun.

Jika kabel tersebut bersentuhan ia akan jadi punca kerosakan lain pula seperti alternator terbakar, kerosakan kabel dan lebih teruk mencederakan anda. Semoga perkongsianini boleh memberikan banyak manfaat untuk anda!

Intan Hazlina
Pensyarah Kanan POLISAS
Sumber: Autoguide.com