Musim sekolah ini selalunya ibu bapa akan mula sibuk dengan rutin harian. Adakalanya kehabisan idea untuk sediakan sarapan pagi untuk anak sekolah.

Jangan bimbang. Di sini kami sediakan beberapa jenis menu dan idea sarapan yang mudah disediakan untuk anak-anak bersekolah nanti.

Idea sarapan ini yang pastinya mengenyangkan, mudah disediakan serta berkhasiat untuk anak anda.

10 Cadangan Sarapan Pagi Untuk Anak Sekolah

Anak-anak ini kadangkala jemu juga kalau asyik diulang menu yang sama sahaja kan. Selain menu-menu biasa yang kita selalu dengar seperti mee hoon atau nasi goreng, anda juga boleh sediakan pelbagai jenis menu lain juga.

Ini mungkin dapat bantu menaikkan selera anak dan paling penting cepat disediakan.

Selain itu ia juga dapat memberikan tenaga dan khasiat yang diperlukan anak untuk lakukan pelbagai aktiviti menarik di sekolah.

1. Sandwich Telur Dan Salad

sarapan pagi untuk anak sekolah

Ini antara menu sarapan pagi anak sekolah paling mudah disediakan. Kebiasaannya telur rebus boleh disediakan lebih awal dan disimpan dalam peti sejuk tanpa dikupas kulitnya.

Bahan-bahannya:

  • 2 keping roti (roti putih atau wholemeal)
  • 2 biji telur rebus
  • Mayonis
  • Salad

Cara penyediaannya:

  1. Mula-mula rebus telur sehingga masak (boleh rebus awal malam sebelum).
  2. Sediakan mangkuk dan letakkan telur yang telah dikupas kulitnya.
  3. Lenyekkan telur dan tambahkan sedikit mayonis (sesuai rasa).
  4. Sediakan roti dan sapukan sedikit mentega.
  5. Letakkan telur tadi dan juga tambahkan dengan salad segar yang sudah dibersihkan.
  6. Letakkan alas roti dan potong sama melintang ataupun menegak ikut kesuaian.

2. Pasta Carbonara Cheese Dan Sosej

Kebanyakan anak-anak mesti suka dengan pasta dan juga sosej. Cara penyediaannya juga mudah dan tidak memerlukan masa yang lama. Bahan-bahannya juga tidak sukar dicari dan disediakan.

Bahan-bahannya:

  • Pasta 2 mangkuk kecil
  • 2 cawan susu segar
  • Keju cheddar
  • Sosej dah telah di masak (rebus atau goreng)
  • Bawang putih 2 ulas
  • Minyak zaitun atau sayuran untuk menumis

Cara penyediaannya:

  1. Rebus pasta dalam air mendidih sehingga lembut (lebih kurang 8 minit)
  2. Toskan airnya dan ketepikan sebentar
  3. Tumis hirisan bawang putih dengan sedikit minyak zaitun atau minyak sayuran
  4. Kemudian tambahkan 2 cawan susu segar atau dari jenis Full Cream
  5. Kacaukan sehingga agak pekat dan masukkan keju
  6. Kacau sehingga cair kemudian masukkan hirisan sosej dan daun herba campuran kering
  7. Tambahkan garam dan sedikit perasa jika suka
  8. Sediakan pasta di pinggan dan tuangkan kuah carbonara ke atas pasta tadi.
  9. Sedia untuk dinikmati.

3. Tortilla Wrap Ayam Panggang Dan Salad

Saya paling suka sediakan tortilla wrap ni untuk anak-anak. Mereka juga sukakannya sebagai sarapan dan bekal ke sekolah. Pernah juga anak minta sediakan lebih untuk jamu kawan-kawan sekelas.

Bahan-bahannya:

  • Tortilla atau wrap segera
  • Hirisan daging ayam 300 gram
  • Sedikit garam untuk menambah rasa
  • Salad segar yang telah dibersihkan
  • Keju dan juga mayonis (terpulang kepada pilihan anda)

Cara penyediaannya:

  1. Panaskan sebentar tortilla atau wrap di atas pan kemudian asingkan
  2. Panggang hirisan daging ayam yang telah dilumur dengan sedikit garam sehingga masak
  3. Tambahkan kepingan keju cheddar di atas tortilla atau wrap tadi
  4. Tambahkan juga salad segar dan juga daging ayam panggang
  5. Balutkan dengan kemas dan potong kepada dua bahagian
  6. Sedia untuk dimakan

4. Nasi Goreng Butter Simple

Nasi goreng kalau digoreng dengan butter ni akan beri rasa yang lebih sedap. Selain dari itu, anda juga boleh campurkan dengan sayur-sayuran seperti hirisan sawi dan juga lobak merah.

Bahan-bahannya:

  • Dua mangkuk nasi (saiz mangkuk nasi Cina)
  • 3 sudu besar butter
  • Bawang putih x 1 ulas (dihiris)
  • Bawang merah x 1 ulas (dihiris nipis)
  • Garam dan perasa
  • Hirisan sawi atau sayur campur

Cara Penyediaannya

  1. Panaskan kuali dan masukkan semua butter sehingga cair
  2. Tumiskan bawang merah dan putih sehingga naik bau
  3. Masukkan nasi tadi dan gaul sehingga rata
  4. Masukkan hirisan sawi atau sayur campur dan gaul rata dengan nasi sehingga layu dan masak
  5. Hidangkan dengan telur dadar atau telur mata jika suka

5. Rolled Egg Omelette Ala Korea

Rolled egg atau telur gulung yang popular di Korea boleh dinikmati sebagai sarapan untuk anak ke sekolah. Selain mudah disediakan ia juga boleh ditambah dengan sayuran, timun atau lobak cincang dan juga cendawan.

Bahan-bahannya:

  • Telur saiz A 4 biji
  • Timun yang dicincang
  • Lobak merah dicincang
  • Garam dan perasa (jika suka)
  • Pilihan lain termasuklah cendawan dan juga sayur seperti hirisan sawi dan lain-lain

Cara penyediaanya:

  1. Masukkan semua bahan cincang dalam telur yang telah dipecahkan dalam mangkuk
  2. Kacau rata dan masukkan sedikit garam dan perasa jika suka
  3. Panaskan kuali leper tahan lekat (non-stick pan) dan sapukan sedikit minyak
  4. Tuangkan satu senduk bancuhan telur dan ratakan sekeliling kuali
  5. Apabila telur sudah mula masak, gulungkan telur ke tepi dan tuangkan lagi bancuhan
  6. Ulang proses sehingga semua bancuhan telur telah masak
  7. Letakkan atas pinggan tahan panas dan potong telur dalam saiz satu inci
  8. Sedia dihidangkan

6. Roti Pizza Dan Hirisan Tomato

Tidak semestinya anda perlu menguli tepung untuk buat pizza di rumah. Cukup sekadar gunakan roti putih biasa atau pun dari jenis wholemeal untuk dijadikan sebagai ‘base’ pizza. Dengan menggunakan bahan ringkas seperti keju dan juga tomato anda sudah boleh sediakan sarapan yang berkhasiat untuk anak-anak.

Bahan-bahannya:

  • Roti putih atau wholemeal
  • Sedikit sos tomato
  • Hirisan timun, lada benggala atau mana-mana sayuran yang disukai
  • Kepingan keju cheddar
  • Hirisan daging ayam panggang

Cara penyediaannya:

  1. Daging ayam perap dengan garam dan sos kegemaran anak anda
  2. Panggang daging ayam sehingga masak dan hiris kecil-kecil
  3. Sapukan sos tomato pada roti
  4. Tambahkan dengan hirisan ayam panggang, keju dan juga sayur kegemaran
  5. Bakar dalam 5 minit dalam ketuhar api 150 darjah celcius atau sehingga keju cair
  6. Keluarkan dari ketuhar dan hidangkan untuk sarapan

7. Pancake Dan Madu Serta Hirisan Pisang

Pancake atau lempeng daripada bancuhan tepung dan juga telur ini antara sarapan yang boleh anda pertimbangkan untuk anak-anak. Ia juga mudah dibuat dan cepat dimasak.

Bahan-bahannya:

  • 1/2 cawan tepung gandum
  • 1 cawan susu segar
  • 1 biji telur
  • 1 sudu makan gula
  • 1 sudu makan minyak sayuran
  • 1 sudu teh baking powder

Cara Penyediaannya:

  1. Pukul telur sehingga kembang dan masukkan minyak, tepung gandum, baking powder, gula dan susu
  2. Pukul sehingga sebati
  3. Sediakan kuali non-stick dan panaskan kuali dengan api sederhana
  4. Masukkan satu senduk adunan dan biarkan sehingga bergelembung
  5. Terbalikkan dan kemudian tunggu sebentar
  6. Angkat dan hidangkan dengan madu atau hirisan pisang.

8. Nasi Putih Dan Tofu Stim Berkuah Pekat

Anak anda sukakan nasi sebagai sarapan? Anda boleh sediakan lauk dari jenis tofu yang distim serta ditambah kuah pekat untuk mereka cuba.

Bahan-bahannya:

  • Tofu lembut
  • Sos tiram
  • Bawang putih 1 ulas
  • Hirisan daun bawang untuk hiasan
  • Minyak sayuran
  • Periuk pengukus

Cara Penyediaannya:

  1. Sediakan tofu dan letakkan dalam mangkuk atau piring tahan panas
  2. Panaskan air dalam periuk atau kuali untuk mengukus
  3. Kukuskan tofu dalam 10-15 minit
  4. Buangkan air kukusan dalam tofu
  5. Cincang bawang putih dan tumis sebentar dalam kuali lain dengan minyak sehingga agak garing
  6. Masukkan sos tiram satu sudu dan kacau
  7. Perasakan dengan sedikit garam dan tambah 3 sudu air
  8. Kacau sebati dan tuangkan di atas tofu kukus tadi
  9. Tutup penutup pengukus sebentar dalam 5 minit
  10. Hiasakan dengan hirisan daun bawang dan makan dengan nasi putih.

Sebagai ibu bapa, kita boleh mula rancang menu sarapan pagi untuk anak sekolah selama seminggu sesi persekolahan.

Ini tentunya lebih memudahkan dan juga bahan-bahannya pula dapat disediakan dengan lebih awal.

Nak dapatkan bermacam info dan produk dari tudung Si Comel?? Jom Follow FB Page Tudung Si Comel

Tudung Sekolah Awning Scuba (519) RM19.90
Tudung Sekolah Dua Lapis (524) RM19.90 - RM24.90
Tudung Sekolah Awning Lembut(518) RM16.90
Tudung Sekolah Awning Scuba Berdagu Getah (525) RM24.90

Kredit : Aulia
explorasilea.com