e-Wallet atau dompet digital kini dilihat semakin popular dalam kalangan pengguna di negara ini yang mana ia menyaksikan teknologi itu mengubah cara pengguna melakukan pembayaran untuk produk dan perkhidmatan sama ada secara dalam dan luar talian.
Perkembangan positif bagi teknologi pembayaran tanpa tunai itu didapati berlaku amat pantas dengan kadar penggunaan melebihi dua digit pada setiap tahun yang mana generasi milenium antara kumpulan pengguna utama sama seperti di negara lain.
Penganalisis Ekonomi dan Kewangan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, industri dompet digital kini menjadi pemacu kepada ekonomi digital negara dengan perubahan infrastruktur digital negara menyumbang kepada perkembangan pesat industri terbabit. Menurutnya lagi, sudah tentu ekosistem dompet digital kini masih belum lengkap namun ia sedang berubah secara pesat dan dinamik sekali.
Dompet digital merujuk kepada peralatan elektronik atau perkhidmatan dalam talian yang membenarkan individu melakukan transaksi elektronik bagi pembelian produk atau perkhidmatan dengan menggunakan duit elektronik (e-money).
Terkini, 42 jenis dompet digital diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan 5 daripada institusi perbankan di negara ini manakala yang lain terdiri daripada organisasi bukan bank atau syarikat kewangan. Jumlah dompet digital ini jelas menunjukkan industri itu sangat berpotensi dengan pelbagai pihak membuat pelaburan yang banyak bagi memastikan mereka mendapat keuntungan daripada perkembangannya
Antara dompet digital yang popular di Malaysia adalah Boost, Grabpay dan Touch N Go di samping beberapa lagi yang lain seperti WechatPay, Alipay, Maybank Pay, Samsung Pay dan lain-lain.
Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang