Diet seimbang menyumbang kepada imuniti tubuh kanak-kanak

Diet seimbang merujuk kepada pemakanan yang mengandungi kombinasi pelbagai jenis hidangan berdasarkan piramid makanan yang boleh membekalkan semua zat diperlukan oleh tubuh badan.

Memantau pemakanan sihat kanak-kanak boleh dianggap kritikal. Ini kerana pemakanan yang salah boleh menjadi antara punca utama berlakunya kekurangan daya imuniti badan. Bahkan jika terus diabaikan tidak mustahil ia menyebabkan sistem imun badan anak menjadi lemah, seterusnya mudah terdedah kepada jangkitan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga me­ngaitkan pemakanan yang salah dengan 45% daripada kematian kanak-kanak di seluruh dunia. Apabila pemakanan tidak dijaga, sistem imun badan merosot, keupayaan menangani penyakit serius juga akan turut berkura­ngan.

Kegagalan ibu bapa menyediakan pemakanan sewajarnya kepada anak akan melemahkan imuniti tubuh mereka. Tanpa sedar, itu yang menjadi punca anak mudah jatuh sakit.

Menurut Pakar Dietetik Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Chiong Kai Ming, tidak kira kanak-kanak atau dewasa, tubuh manusia memerlukan pelbagai jenis makanan dalam kuantiti yang betul untuk mendapat­kan keseimba­ngan dalam diet harian. Pemakanan lengkap bermaksud memberikan anak makanan yang sihat, seimbang serta dalam kuantiti sederhana mengikut saiz sajian yang disarankan dan mestilah ada kepelbagaian untuk memenuhi keperluan tubuh badan.

Tiada satu pun jenis makanan, minuman atau kumpulan makanan tertentu yang mampu memberikan semua keperluan pemakanan yang diperlukan tubuh dalam satu-satu masa. Jadi, untuk mendapatkan diet sihat, kita tetap perlu mengamalkan pemakanan seimbang dengan jumlah yang tepat.

Fungsi otak serta tingkah laku kanak-kanak boleh dipengaruhi oleh pemakanan. Mereka memerlukan pelbagai nutrien bagi menyokong perkembangan tubuh badan, membekalkan tenaga untuk aktiviti fizikal dan mental, membantu mengekalkan ketahanan badan terhadap jangkitan serta menyediakan bekalan zat mencukupi untuk pertumbuhan mengikut peringkat umur.

PIRAMID MAKANAN

Dalam memastikan tumbesaran sihat, kanak-kanak lazimnya memerlukan semua kumpulan makanan utama untuk menyokong keperluan tubuhnya. Kanak-kanak disarankan mengambil hidangan buah-buahan, sayur, kekacang, produk bijirin dan makanan yang kaya dengan protein seperti telur, produk tenusu, daging, ayam, ikan dalam jumlah sederhana. Di Malaysia, amalan pemakanan sihat boleh merujuk kepada Piramid Makanan Malaysia. Ia adalah panduan mudah untuk ibu bapa mengetahui jumlah sajian yang disarankan dengan jenis makanan yang diperlukan.

Terdapat 5 kumpulan makanan yang dibahagikan mengikut 4 aras berbeza ⤵️

🔃 Aras bawah piramid makanan terdiri daripada makanan seperti nasi, mi, gandum, bijirin dan ubi iaitu sumber tenaga penting, yang diperlukan badan.

🔃 Aras kedua adalah buah-buahan dan sayur-sayuran. Ia menjadi sumber antioksidan, fitokimia, vitamin dan mineral. Vitamin C dalam buah-buahan dan sayur-sayuran boleh meningkatkan daya imun badan, seterusnya membantu mengelakkan penyakit seperti demam dan selsema.

🔃 Aras seterusnya, barulah daging, ikan, hasil laut, ayam dan produk tenusu. Semua ini adalah sumber protein, zink dan zat besi yang memainkan peranan penting dalam sistem imun tubuh kanak-kanak. Protein bertanggungjawab menghasilkan antibodi, ia­itu komponen utama sistem imun badan. Ia membantu badan melawan bakteria dan virus serta menghalang jangkitan.

🔃 Aras akhir sekali adalah sumber lemak yang mana penting untuk membekalkan kalori mencukupi untuk perkembangan normal saraf, mata atau otak kanak-kanak tetapi ia diperlukan dalam kuantiti yang kecil, bersesuaian dengan keperluan kanak-kanak.

CHIONG menerangkan carta Piramid Makanan Malaysia untuk kanak-kanak berusia dua hingga tujuh tahun. FOTO Aswadi Alias

Jadi, jom amalkan pemakanan sihat demi kesejahteraan minda dan tubuh badan.

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang