Ketiga-tiga istilah tersebut merujuk kepada kehadiran penyakit berjangkit dalam kelompok manusia atau populasi serta had kawasan berlakunya jangkitan. Perbezaan antara ketiga-tiganya adalah sempadan jangkitan dalam populasi tersebut sama ada terhad kepada kawasan tertentu, merentas kawasan atau merentas negara.

Endemik adalah sebaran penyakit berulang kali atau berterusan berlaku dalam sesuatu populasi. Sebaran penyakit itu berlaku di sesuatu kawasan atau daerah tertentu sahaja dan tidak di tempat lain. Sebagai contoh, penyakit mulut dan tangan di Sarawak dan beberapa tempat lain atau demam malaria di beberapa tempat di Sabah.

Epidemik atau sering disebut sebagai wabak adalah apabila ramai dalam kalangan sesuatu populasi yang mendapat penyakit. Insiden penyakit tersebut melampaui bilangan jangkitan endemik. Ia juga berlaku di banyak kawasan dan secara tiba-tiba. Demam denggi adalah contoh penyakit epidemik kerana ia berlaku di beberapa tempat.

Manakala pandemik pula adalah epidemik berlaku di seluruh dunia melangkaui sempadan dan negara seperti mana penyakit yang disebabkan oleh virus influenza, SARS-CoV-2 dan HIV.

Konsep hidup bersama virus

Kehidupan kita sebagai manusia memang tidak lari daripada kehadiran virus dan juga mikro organisma lain. Dalam hal Covid-19, virus SARS-CoV-2 tidak dapat kita bendung di awal penularannya. Ini ditambah dengan status pandemiknya yang mana perpindahan virus dari negara ke negara berlaku, maka sukar untuk menghentikan penyebarannya. Kehadiran varian baru yang lebih mudah tersebar seperti varian Delta memburukkan lagi keadaan yang dialami.

Perlu difahami bahawa virus ialah hidupan yang memerlukan perumah untuk berganda. Jika kita mengelak dijangkiti, virus akan terhenti berganda. Selain melalui pemvaksinan, mematuhi amalan memakai pelitup muka, mengelak berada di tempat sesak dan kerap membasuh tangan perlu diteruskan untuk tempoh lama bagi mengelak jangkitan. Hakikatnya sekarang virus SARS-CoV-2 sudah berada di sekeliling persekitaran semua manusia.

Varian pula mempunyai pelbagai kebolehan untuk berjangkit dan berbeza dalam menyebabkan keseriusan penyakit. Matlamat virus adalah meningkatkan gandaan. Jika ia dapat berjangkit, tetapi akhirnya orang yang dijangkiti meninggal dunia, maka itu tidak akan menguntungkan virus. Maka akan tiba juga ketikanya nanti virus berubah kepada varian yang mudah tersebar, tetapi jangkitannya tidak serius. Ketika ini manusia akan hidup bersama virus. Kes yang serius atau kematian akan lebih rendah.

Kesediaan Rakyat Malaysia mengharungi endemik

Dengan peratus vaksinasi yang tinggi, ada harapan Malaysia boleh menuju ke arah endemik. Kerjasama masyarakat sangat diperlukan untuk menjayakan harapan ini bagi melindungi kelompok yang tidak dapat divaksin. Kelompok ini terutama kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun serta individu yang ada masalah dalam menghasilkan keimunan berkesan terhadap jangkitan. Pada sudut yang lain pula, apabila ramai yang divaksinkan, virus yang ada tidak dapat berganda dan dipindahkan dengan cekap. Virus akan lebih berjaya berganda dalam kalangan mereka yang tidak divaksinkan.

Keengganan mendapatkan vaksin sebenarnya amat berbahaya kerana akan ada beberapa risiko seperti kemunculan varian baharu yang lebih serius dalam kalangan mereka yang tidak divaksin. Ini kerana, jika berlaku jangkitan terhadap mereka yang tidak divaksin, pergandaan virus boleh berlaku dan kemungkinan berlaku mutasi virus lebih tinggi seterusnya membentuk varian baharu. Golongan ini akan merisikokan kanak-kanak serta mereka yang imunokompromi.

Dalam kalangan mereka yang divaksinkan, kemungkinan berlaku pembentukan varian baharu amat kecil. Ini kerana pergandaan virus dapat ditindas lebih awal oleh sistem imun yang dijanakan selepas seseorang divaksin. Kanak-kanak dan mereka yang tidak boleh divaksin ini mengharapkan mereka yang divaksin sebagai pendinding terhadap jangkitan SARS-CoV-2.

Kemungkinan endemik Covid-19 bertukar semula kepada pandemik sekiranya wujud varian baru yang lebih kuat

Sekiranya rakyat semua negara menggunakan kaedah yang dicadangkan WHO dalam mengawal penularan virus, pandemik dapat dielakkan. Namun, kita tidak boleh lagi berasa terlalu selesa untuk kembali kepada keadaan sebelum Covid-19. Semuanya bergantung kepada kerjasama semua dalam amalan yang betul.

Covid-19 bakal umpama kes, contohnya demam denggi atau malaria kerana jumlahnya tidak besar tetapi sentiasa ada

Inilah yang dimaksudkan sebagai endemik. Apabila ada kelompok mudah terjangkit dan menjangkitkannya pula kepada orang lain. Akan ada kepelbagaian varian SARS-CoV-2 yang menyebabkan pelbagai keseriusan penyakit. Dengan adanya langkah pemvaksinan, bilangan yang sakit serius atau meninggal dunia akan berkurangan. Lebih ramai berada dalam keadaan tanpa simptom dan simptom ringan yang berpotensi untuk menjangkitkan orang lain jika pematuhan SOP diambil ringan.

Marilah sama-sama menjadi warga Malaysia yang prihatin menghalang penyebaran sebarang virus.

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang