Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyifatkan kebenaran rentas negeri sebagai peluang terbaik untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memulihkan perniagaan dan meneruskan kelangsungan hidup. Menurut Menterinya Tan Sri Noh Omar, ini kerana terdapat sebanyak 37,415 usahawan gulung tikar sepanjang tempoh pandemik ini. Daripada jumlah itu, 26,007 adalah mikro dan bakinya 2,738 adalah PKS.

Sehubungan itu, kementerian menggariskan dasar dengan menumpukan kepada penyelarasan dan penjajaran pelaksanaan program di MEDAC serta 11 agensi di bawahnya bagi memastikan segala inisiatif dan pakej yang diperkenalkan kerajaan sampai kepada golongan usahawan PKS yang terkesan. Penyelarasan ini meliputi kumpulan sasar, nilai pembiayaan / kadar bantuan / geran, skop program dan mekanisma pelaksanaan.

Kumpulan fokus berkenaan adalah golongan usahawan dan koperasi yang terkesan akibat Covid-19, golongan yang diberhentikan kerja dan berminat untuk menjadi usahawan dan graduan yang tiada pekerjaan dan ingin menjadi usahawan, golongan asnaf, serta usahawan yang menggunakan modal sendiri.

MEDAC optimis pengumuman ini mampu memberi keseimbangan dalam membantu mempergiatkan kembali aktiviti ekonomi secara fiskal yang mana dalam masa sama dapat melandaikan lengkuk jangkitan Covid-19. Diharapkan agar usahawan dapat meneruskan kelangsungan operasi perniagaan mereka dalam tempoh ini.

MEDAC terus komited dalam agenda melahirkan bangsa usahawan, selaras dengan aspirasi Keluarga Malaysia selari dengan usaha mempertingkat keseimbangan ekonomi di wilayah kurang membangun, penekanan kepada aspek keusahawanan akan dipertingkatkan sebagai antara potensi peluang penjanaan pendapatan yang lebih global.

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang