Apakah perbezaan antara Pelaksanaan Amalan QE/5S yang diterajui oleh MPC (Malaysia Productivity Corporation) dengan Pelaksanaan EKSA (Ekosistem Kondusif Sektor Awam) oleh MAMPU?

Berikut dikongsikan antara perbezaan yang boleh dihuraikan disini atas pengalaman [email protected] dalam menceburi pensijilan kedua-dua agensi yang menerajui QE/5S/EKSA ini dalam topik MPC vs MAMPU:

AGENSI : MPC adalah satu agensi berkanun dibawah Kementerian Perdagangan Antarbangsa & Industri (MITI), manakala MAMPU sebuah unit yang menguruskan pentadbiran di agensi kerajaan (Sektor Awam).

PELAKSANAAN : Amalan 5S sudah bermula di negara ini sekitar tahun 80an lagi. MPC adalah agensi yang pertama mentauliahkan persijilan 5S berkenaan (Sektor Swasta dan Sektor Awam). Pada waktu itu, kebanyakannya amalan 5S dipraktikan oleh Sektor Swasta dan Syarikat Multinasional seperti kilang, syarikat dan seumpamanya. Manakala EKSA hanya untuk disijilkan oleh agensi dibawah Sektor Awam sahaja (seperti jabatan kerajaan, Kementerian, PBT, Hospital dll). Ia bermula sekitar tahun 2010.

JENAMA : Penjenamaan atau penggunaan nama amalan ini juga berbeza-beza, tetapi nama 5S tetap sinonim dengan amalan ini. Walaupun jenama yang berlainan seperti Amalan 5S, Sistem Pengurusan Persekitaran Berkualiti QE dan Ekosistem Kondusif Sektor Awam EKSA, ia tetap dengan konsep yang sama. Seperti EKSA, ia bukan bertujuan untuk menggantikan konsep 5S yang sedia ada diamalkan, sebalinya menambah baik elemen 5S dengan menyokong kepada persekitaran yang kondusif.

PENGAUDITAN : Juruaudit bagi kedua-dua agensi adalah dari MPC dan MAMPU itu sendiri. Tetapi mereka boleh melantik wakil juruaudit luar yang telah diiktiraf dan mempunyai sijil bagi menjalankan pengauditan di agensi berkenaan. Manakala kos bagi melaksankan pengauditan ini juga berbeza, dimana MPC bayaran sekitar RM1,000 – RM1,500 (mengikut lokasi dan bilangan juruaudit). Manakala bagi Juruaudit EKSA dari MAMPU, bayaran / saguhati mengikut kelayakan pegawai berkenaan (tuntutan penceramah, perjalanan, penginapan) mengikut pekeliling perbendaharaan yang berkuatkuasa.

LIPUTAN AUDITAN : Dalam pensijilan MPC kawasan liputan atau lokasi yang akan diaudit bagi sesebuah agensi boleh di kecualikan (atas sebab sebab tertentu seperti aspek keselamatan, dokumen rahsia, bangunan terpisah dari agensi induk, bangunan dalam pembinaan, dll). Tetapi dalam EKSA, seboleh-bolehnya semua lokasi perlu diaudit dan tiada pengecualian, Rasionalnya adalah semua kawasan/lokasi dalam dan luar adalah Hak Milik Kerajaan. tetapi semua ini adalah mengikut budi bicara Juruaudit 5S/EKSA ini juga dan atas faktor tertentu.

PERMARKAHAN : Markah keseluruhan audit 5S/EKSA adalah perlu mendapat 80% markah baru layak untuk dipersijilkan. Cuma bagi EKSA ia dipecahkan kepada 2 kategori iaitu BAIK (markah 80-89.9%) dan CEMERLANG (markah 90% ke atas).

ANUGERAH : MPC saban tahun menganjurkan Konvensyen atau majlis untuk mengiktiraf agensi/badan yang cemerlang dalam melaksanakan Amalan 5S ini. Ia kebiasaanyan dipecahkan kepada beberapa sektor seperti Sektor Awam, Sektor Badan Berkanun, Kategori Kilang dan lain-lain. Manakala EKSA dari MAMPU masih baru dan tiada sebarang konvesyen yang diadakan lagi.

RUJUKAN : Banyak bahan rujukan yang diterbitkan oleh MPC dalam memberi pendedahan dan panduan dalam pelaksanaan Amalan 5S ini. Bahan rujukan boleh didapati di pejabat MPC dengan harga belian RM30. Bagi EKSA pula Buku Panduan / Garis Panduan masih dalam peringkat semakan atau draf dan dijangkan akan dikelurkan pada tahun ini (2015). MAMPU telah menerbitkan Panduan Amalan 5S Sektor Awam pada tahun 2010, tetapi rujukan ini kini tidak beberapa relevan dengan wujudnya EKSA. Ia percuma dan boleh dimuat turun di laman sesawang MAMPU.

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang