Inovasi kini sudah menjadi tanda aras globalisasi. Ia mendorong kepada keupayaan penciptaan idea dan inisiatif strategik yang baru, unik dan bermanfaat, sekali gus berfungsi sebagai pemangkin pembangunan sesuatu bidang.
Dalam era moden hari ini, penghasilan inovasi secara berterusan dan berimpak tinggi diyakini berupaya meningkatkan kecekapan sesuatu proses serta penyampaian perkhidmatan.
Namun realitinya, bukan semua idea bernas yang diutarakan pekerja dalam pelbagai sektor mampu digerakkan daripada peringkat penciptaan hingga pengkomersialan. Lebih tepat, ia bukan sesuatu yang mudah.
Idea inovatif yang hebat memerlukan daya kreativiti yang tinggi dan sokongan untuk direalisasikan.
Dalam usaha mencipta inovasi suatu platform digital membolehkan pekerja mengemukakan idea untuk produk baru atau peningkatan proses.
Platform inovasi dalaman adalah sebahagian daripada inisiatif untuk membawa lebih banyak impak perubahan pada masa akan datang.
Idea yang bernas perlu membawa impak besar sebelum berlaku inovasi kerana jika tidak, ia sekadar idea yang akan luput ditelan zaman. Penghasilan sesuatu perkara baru tanpa sebarang impak maka ia bukanlah inovasi.
Kita boleh lihat perbezaan antara kreativiti dengan inovasi menerusi maklum balas pengguna. Apabila idea baru yang kreatif diubah menjadi produk atau perkhidmatan dan dibeli pengguna, itu inovasi.
Tetapi apa yang kita lihat hari ini, kebanyakannya tidak membawa impak. Ia sekadar perkara menyeronokkan yang melalui fasa popular, kemudian hilang dan sepi. Sepatutnya, inovasi memberi impak besar kepada masyarakat dan merevolusikan gaya hidup pengguna.
Mempunyai banyak idea dalam satu-satu masa juga boleh meningkatkan lagi peluang untuk berjaya serta perancangan diatur membuahkan hasil, usah mudah berpuas hati.
Syarikat gergasi mungkin dikejutkan dengan hasil ciptaan seorang kanak-kanak di garaj yang boleh membunuh perusahaan mereka sekelip mata. Seorang individu yang mudah berpuas hati juga boleh dikejutkan dengan kehadiran bos yang jauh lebih muda usianya. Justeru, sentiasa cabar diri sendiri.
Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang