Pencapaian cemerlang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (P) Methodist Kuantan, adik Maryam Muzamir pada pertandingan inovasi dan rekacipta di peringkat antarabangsa berjaya mengharumkan nama negara dan juga Negeri Pahang, khususnya.
Pelajar pintar ini menjadi pemenang termuda yang memenangi tiga anugerah utama sekaligus iaitu pingat emas, Anugerah Istimewa Kanada dan Anugerah Istimewa Inventor Muda Terbaik sempena The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 yang diadakan di Toronto, Canada.
iCAN 2021 merupakan pertandingan inovasi dan rekacipta terbesar di benua Amerika Utara di mana pertandingan berkenaan diadakan secara atas talian pada 28 Ogos lalu berikutan faktor pandemik COVID-19 dan telah disertai lebih 600 peserta dari 70 negara.
Bapanya, Profesor Madya Ts Dr Muzamir Hassan berkata, pada pertandingan itu Maryam mempertaruhkan produk makanan haiwan ternakan berasaskan bahan buangan iaitu kulit udang dan kulit siput sedut ciptaannya.
Bermula dengan pemerhatian di restoran makanan laut yang keluarga Maryam kunjungi, Maryam melihat begitu banyak sampah yang dihasilkan dari restoran-restoran tersebut, khususnya jumlah cengkerang yang dibuang.
Hasil bacaannya di sebuah artikel yang mengatakan bahawa kerang makanan laut mengandung sebatian kitin dan manfaatnya terhadap ternakan memberi idea kepadanya untuk mula mencipta produk berkenaan.
Menurut Muzamir yang bertugas sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Malaysia Pahang (UMP), kebolehan dan keistimewaan anak sulung daripada dua beradik itu dalam bidang inovasi dan rekacipta dapat dilihat seawal usia empat ke lima tahun.
Maryam tidak mewarisi kemahiran bapanya di dalam kejuruteraan awam namun gadis kecil itu dianugerahi Allah SWT kebolehan untuk merekacipta sesuatu melalui pengamatan dan kelebihan di sekelilingnya.
Ibu bapa Maryam suka membelikan mainan Lego ketika dia mula berusia empat tahun, dari situ mereka boleh nampak Maryam mempunyai potensi tinggi apabila dia boleh menghasilkan rekaan lego yang bukan hanya mengikut contoh yang diberikan pada mainan tersebut.
Maryam anak yang pendiam namun ibu bapanya nampak kebolehannya dan ia terus dikembangkan ketika di sekolah melalui subjek Sains. Kemampuannya turut mendapat perhatian dan sokongan sewarnya daripada guru dan pihak sekolah.
Maryam telah mula mencipta kejayaan sejak di tahun empat yang mana dia telah memenangi tiga emas dalam pertandingan inovasi dan rekacipta di peringkat kebangsaan.
Sejak itu dia mula bersaing dengan pelbagai peringkat usia dan kehebatan termasuk profesor-profesor dari universiti-universiti terkemuka di dunia.
Maryam terus berjaya membuktikan kemampuan dirinya dengan meraih emas dan tempat terbaik dalam setiap setiap pertandingan yang dimiliki. Semoga Maryam mencipta kejayaan dan mengejar cita-cita untuk menjadi profesor dalam bidang STEM hasil dorongan dan semangat ibu bapa serta semua pihak.
Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang