Situasi pandemik Covid-19 semakin membimbangkan dan langkah ‘lock down‘ kendiri dan sekatan pergerakan penuh dilihat dapat membantu dalam mengurangkan kadar jangkitan dalam komuniti.
Malah, arahan kerajaan juga sudah dikeluarkan untuk orang ramai bekerja dari rumah sahaja. Perkara ini mungkin memberi sekali lagi rasa bosan dalam hubungan rumah tangga kerana setiap hari pasangan perlu berada di tempat sama setiap hari.
Justeru, berikut adalah beberapa perkongsian tip yang mungkin pasangan suami isteri boleh praktikkan untuk mengelakkan kebosanan apabila sentiasa berada di rumah.
1. Jadualkan waktu bekerja dengan berdisiplin
Walaupun berada di rumah anda boleh menetapkan masa untuk bekerja seperti berada di pejabat. Ketika bekerja ingatkan pasangan supaya tidak mengganggu antara satu sama lain secara berdisiplin.
Sekiranya mempunyai anak yang perlu diberi perhatian, ambil tanggungjawab secara bergilir-gilir mengikut masa ditetapkan.
2. Wujudkan ruang peribadi untuk bekerja
Sebaiknya jangan bekerja di ruang yang terbuka yang terdapat anak-anak atau pasangan anda turut bekerja di tempat sama.
Cari ruang peribadi tersendiri supaya anda turut dapat fokus melakukan tugasan yang diberikan majikan tanpa gangguan.
Contohnya jadikan bilik anak sebagai ruang bekerja sementara untuk isteri dan bilik bersama pasangan digunakan suami sebagai ruang bekerja sendiri.
3. Terapkan dalam diri anda dan pasangan sedang bercinta
Sebenarnya ketika berada di rumah adalah ruang privasi anda bersama keluarga dan wujudkan rasa sayang menyayangi antara satu sama lain setiap masa.
Tiada salahnya jika anda membuat kejutan tertentu kepada pasangan seperti mengirim surat atau teks yang mengatakan anda rindu. Ia pasti membuatkan pasangan rasa dihargai.
4. Sentiasa bekerjasama
Sememangnya ketika semua ahli keluarga berada di rumah terutama dengan anak-anak yang masih kecil memberi tekanan emosi kepada pasangan suami isteri kerana perlu melayan pelbagai emosi.
Namun, jadikan ia sebagai satu tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai ketua dan pembantu dalam keluarga anda sendiri.
Tiada salahnya jika bergilir-gilir memasak, mengemas rumah atau menguruskan anak-anak kerana tanggungjawab di rumah bukan terletak pada sebelah pihak sahaja.
5. Jangan pendam
Sekiranya berlaku konflik dengan pasangan bersikap meluahkan lebih baik daripada memendam rasa kerana risau ia boleh mendatangkan keburukan jika tidak dapat dibendung.
Jadi pasangan yang sentiasa berlapang dada dan menerima kekurangan diri masing-masing dan perlu diingatkan setiap manusia tidak sempurna. Malah, berlakunya perkahwinan kerana anda dan pasangan sudah bersedia menerima sikap masing-masing.
Selesaikan masalah atau konflik dengan baik. Sekiranya sudah di peringkat tidak boleh dikawal gunakan saluran betul untuk meluahkan rasa marah. Bertindak kasar secara fizikal boleh membawa mudarat!
6. Sentiasa bersama-sama dekatkan diri dengan agama
Agama adalah tiang dalam kehidupan dan dalam tempoh sentiasa bersama di rumah ini waktu yang boleh digunakan untuk mengamalkan ajaran agama dengan sebaik-baiknya.
Contohnya solat berjemaah dan membaca al-Quran bersama-sama serta memahami ertinya, sudah pasti dapat mencipta keberkatan dalam hubungan suami isteri.
Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang