Pengertian Hibah

Hibah ialah suatu akad pemberian milikan harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, tidak mengharapkan pahala di akhirat atau memuliakan seseorang dan dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.

Rukun Hibah

  1. Pemberi hibah (al-Wahib)

Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rusyd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.

  1. Penerima hibah (al-Mawhub lahu)

Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.

  1. Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub)

Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat iaitu hendaklah barang atau harta yang halal. Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak. Barang atau harta itu milik pemberi hibah. Ia boleh diserah milikkan dan benar-benar wujud semasa dihibahkan.

  1. Sighah (Ijab dan Qabul)

Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha” dan sebagainya.

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang