Seperti yang diketahui, kita telah memasuki bulan Muharram yang menandakan bermulanya tahun baharu hijrah. Di bulan ini, umat Islam dianjurkan untuk melakukan pelbagai ibadah dan amal kebaikan kerana ia bulan yang sangat mulia.

Bagaimanapun, pasti masih ramai yang belum faham atau belum tahu mengenai takwim hijrah. Bagaimana ia dikira dan adakah ia berbeza dengan takwim masihi?

Jawapan bagi persoalan itu telah dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Twitter milik mereka. Jom kita tengok penjelasan di bawah ini.

Soalan:
Apakah perbezaan takwim masihi dan takwim hijri?

Jawapan:
Dasar bagi penentuan takwim masihi (syamsiyah) ialah waktu yang diperlukan oleh bumi untuk mengelilingi matahari iaitu 365.25 hari.

Manakala bagi takwim hijrah (qamariyah) pula ialah waktu kitaran bulan mengelilingi bumi sebanyak 12 kali iaitu kira-kira 354 hari. Ini bermakna, takwim hijriah ini kebiasaannya akan lebih cepat daripada takwim masihi sebanyak 10 atau 11 sehari berbanding takwim masihi.

Pertukaran hari di dalam takwim masihi terjadi pada jam 24 atau 00 tengah malam sedangkan pergantian hari di dalam takwim hijriah ialah saat matahari terbenam pada kawasan tersebut.

Firman Allah SWT:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِندَ اللَّـهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّـهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنفُسَكُمْ ۚ وَقَاتِلُوا الْمُشْرِكِينَ كَافَّةً كَمَا يُقَاتِلُونَكُمْ كَافَّةً ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّـهَ مَعَ الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah ialah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya; dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertakwa”. (Surah al Taubah: 36).

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang