Para graduan Kolej Komuniti disaran supaya berkhidmat kepada masyarakat di luar bandar dan menceburkan diri dalam bidang keusahawanan bagi menghadapi dunia yang berada di ambang Revolusi Industri 4.0. Revolusi merujuk kepada industri inovasi dan penyesuaian masyarakat terhadap teknologi baharu kerana kehidupan masa ini dan akan datang bakal dipacu oleh teknologi robotik dan kecerdasan buatan.

Semua institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini termasuklah Kolej Komuniti haruslah sama-sama mengambil peluang untuk menambah baik serta memberi nilai tambah dalam setiap kursus yang ditawarkan kepada pelajar bagi memenuhi kehendak pasaran yang kian mengorak langkah.

Pengukuhan program akademik Pemerkasaan Sistem Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) adalah langkah yang dilihat wajar kerana akan membantu negara dalam membentuk modal insan ke arah pembentukan teknologi baharu agar para graduan mampu menangani cabaran Revolusi Industri 4.0 pada masa akan datang.

Para graduan diharapkan tidak hanya memfokuskan pencarian peluang kerja di bandar-bandar besar semata-mata berikutan pendapat dan idea-idea baharu daripada generasi muda dalam peningkatan kualiti negara dalam tempoh 30 tahun akan datang adalah amat penting dalam mencorakkan kemajuan negara. Idea-idea baharu generasi kini bakal menjadi tonggak bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat kelak. Dengan berbekalkan penerapan ilmu pengetahuan, kemahiran kepimpinan, komunikasi dan pengurusan yang diperlukan graduan bagi membangunkan modal insan masyarakat dan komuniti setempat.

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang