Panas terik. Itulah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan betapa panasnya cuaca pada hari ini. Dalam cuaca yang panas, mesti ramai yang berkurung di dalam rumah dan menikmati kesejukan angin daripada penghawa dingin. Namun jangan lupa mengamalkan tips penjimatan yang telah disarankan untuk memastikan bil elektrik tidak melambung.

Maklumat berikut adalah penting memandangkan keadaan ekonomi yang semakin meruncing, jadi dengan pendedahan sebegini ianya sedikit sebanyak dapat membantu pengguna menjimatkan kos elektrik sekaligus memulihara alam sekitar.

Peluang keemasan

Di kala ramai yang merungut tentang cuaca panas, pasti ada yang tidak tahu akan adanya pihak lain yang sedang bersyukur di atas situasi sebegini.

Suria Infiniti Sdn Bhd, sebuah syarikat yang dibangunkan oleh beberapa orang anak tempatan yang mana salah seorang pengasasnya ialah Mohd Shahrul Nizar Ghani. Asalnya merupakan seorang jurutera di dalam industri Tenaga Boleh Baharu, tetapi kemudiannya beralih arah kepada bidang perniagaan tenaga solar kerana beliau sedar akan potensi yang meluas bagi Tenaga Boleh Baharu ini dalam menjana keuntungan yang berlipat kali ganda.

Pada mulanya ia bukanlah sesuatu yang mudah buat beliau kerana untuk seorang jurutera memahami selok belok perniagaan, sudah tentu masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari. Tambahan pula ketika itu kebanyakan institusi kewangan masih samar-samar dalam penerimaan Tenaga Boleh Baharu, jadi agak sukar baginya untuk cuba mendapatkan modal perniagaan.

Walau bagaimana pun, dengan hanya bermodalkan wang sebanyak RM5000 dan fokus utama perniagaannya tertumpu kepada kerja-kerja pemasangan dan khidmat nasihat (consultation), akhirnya perniagaan yang dibina berjalan dengan lancar.

2MW solar farm in Pajam Nilai

2MW solar farm in Pajam Nilai
sumber: suriainfiniti.com

Menurutnya, pada ketika itu hanya terdapat kurang daripada 30 syarikat yang menceburkan diri dalam industri ini berbanding bilangannya yang meningkat lebih daripada 100 buah syarikat buat masa sekarang. Peningkatan ini dilihat sesuatu perkembangan yang agak memberangsangkan dan ini juga membuktikan kesedaran masyarakat terhadap industri Tenaga Boleh Baharu semakin bertambah.

Suria Infiniti menyediakan khidmat reka bentuk, memasarkan dan juga khidmat pemasangan sistem photovoltik, ataupun lebih dikenali sebagai solar PV yang akan menukarkan cahaya matahari kepada tenaga elektrik.

20kWp BIPV system for REHDA Office Building

20kWp system BIPV di bangunan pejabat REHDA
sumber: suriainfiniti.com

Perlu ditekankan di sini, cuaca khatulistiwa di negara  kita sememangnya memberikan kelebihan kepada kita dalam penggunaan solar PV. Malah bukan itu sahaja, cuaca panas yang konsisten setiap bulan membuatkan lebih banyak pengusaha-pengusaha industri mula memikirkan akan pelaburan jangka masa panjang. Walaupun sebenarnya kita sedikit terlambat berbanding negara maju yang lain, namun ianya masih tidak terlalu lewat untuk kita turut sama-sama membangunkan tenaga yang mampan ini.

Sebagai contohnya SEDA Malaysia iaitu sebuah badan berkanun yang ditubuhkan dibawah Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 (Akta 726), fungsinya bukan sahaja untuk mempromosi dan melaksanakan objektif dasar kebangsaan bagi Tenaga Boleh Baharu (TBB), tetapi juga membantu kita dalam aspek melaksanakan, mengurus dan memantau sistem tarif galakan (FiT). Dengan bantuan mereka, proses pembahagian kuota bagi setiap pengguna juga dapat dijalankan dengan lancar.

Dari tenaga solar yang digunakan setiap hari dapat dijadikan sumber pendapatan yang menguntungkan. Jadi amat bertuahlah bagi individu seperti saudara Mohd Shahrul kerana mengambil langkah yang berani suatu ketika dulu untuk membuka perniagaan yang sebegini rupa. Tidak sia-sia pengorbanannya.

Dan rasanya selepas ini tidak mustahil juga akan adanya individu-individu lain ataupun badan korporat yang akan tampil kehadapan untuk turut mencuba nasib.

Nota: Kepada mereka yang berminat untuk turut serta dalam industri Tenaga Boleh Baharu ini, boleh mendapatkan maklumat yang lebih terperinci dilaman web SEDA Malaysia di www.SEDA.gov.my.

kredit : Hafiz Rahim