Anda seorang usahawan yang sentiasa dahagakan sumber inspirasi agar sentiasa kekal dalam momentum sekarang? Dalam usaha untuk mendapatkan sumber inspirasi, ada yang mencari mentor agar sentiasa mendapat bimbingan dan sokongan moral agar tidak terkeluar dari landasan yang betul. Ada juga yang memilih untuk menghadiri pelbagai seminar perniagaan yang dijalankan di dalam dan luar negara. Malah ada yang menonton filem untuk mendapatkan motivasi perniagaan.

Satu lagi cara untuk mendapatkan motivasi perniagaan ialah dengan cara menjadikan kisah kejayaan usahawan berjaya sebagai inspirasi. Dewasa ini ramai usahawan berjaya yang bergelar milionair dan bilionair yang sudi berkongsi tentang kisah kejayaan mereka.

Tak dilupakan tentang kisah halangan dan kegagalan yang terpaksa dilalui sebelum berada pada tahap hari ini. Istimewa untuk anda, hari ini kami akan kongsikan kisah usahawan berjaya sebagai sumber inspirasi kita semua.

1. Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary

Tan Sri Syed Mokhtar Shah bin Syed Nor Al-Bukhary merupakan seorang ahli perniagaan dan usahawan Melayu yang terkaya di Malaysia. Ingat roti Gardenia, ingat Tan Sri syed Mokhtar. Menurut Majalah Forbes,  jumlah kesemua harta beliau adalah bernilai USD$2.7 bilion atau RM9.7 bilion. Kisah kejayaan beliau bukannya mudah. Beliau dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951 dalam keluarag yang miskin dan memulakan perniagaan sebagai seorang pengusaha daging pada tahun 1970.

Pada tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar telah beralih ke bidang pengangkutan sebelum memasuki bidang pengurusan dan pembangunan pelabuhan. Beliau bertanggungjawab dalam menjadikan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor terkenal di seluruh dunia dalam masa yang singkat. Tidak lama kemudian, beliau telah mengasaskan Yayasan (Islam) Al-Bukhary. Yayasan tersebut telah membina dan menguruskan Muzium Kesenian Islam bernilai RM70 juta di Kuala Lumpur. Selain itu, yayasan tersebut juga menjalankan kerja-kerja amal dan kebajikan di sekitar Negeri Kedah dan Perak.

Ramai yang tidak tahu bahawa beliau merupakan pemilik Syarikat Gulf International Investment Group Capital (GIIG) yang mempunyai kepentingan dalam Projek Hidro Elektrik Bakun. Selain itu, beliau mempunyai kepentingan dalam beberapa buah firma terkenal Malaysia seperti:

  • Malaysia Mining Corporation Berhad (MMC)
  • PERNAS
  • Padiberas Nasional Berhad
  • Malakoff Berhad
  • Seaport Terminal Johor Sdn. Bhd
  • Johor Port Berhad
  • Impian Teladan Sdn. Bhd
  • Indra Cita Sdn. Bhd

2. Puan Faiza Bawumi Sayed Ahmad

Namanya mungkin anda tidak kenal, namun kami pasti anda kenal dengan jenamanya iaitu Faiza. Syarikat Faiza Sdn Bhd mengeluarkan pelbagai produk seperti beras, bihun, sos cili, kicap, garam, dan sebagainya. Malah beras yang dikeluarkan juga terdiri daripada pelbagai jenis seperti beras ponni, beras wangi, basmathi, parboiled dan sebagainya. Mendengar cerita tentang liku-liku yang dihadapi oleh beliau untuk berjaya pada hari ini, pastinya kita akan berasa lebih bersemangat untuk berusaha.

Beliau bermula dengan menjual serbuk kari home made yang dijual di kedai runcit berhampiran rumahnya. Dari keuntungan menjual serbuk kari tadi beliau mendapat modal untuk membuka sebuah kedai runcit sebelum berkembang menjadi pembekal beras kepada kedai runcit di kawasan sekitarnya. Ditipu dan dikhianati adalah asam garam perniagaan beliau. Ada berasnya yang dicuri dari dalam lori. Malah ada pemandu lori yang mengambil beras keluarannya untuk dipek semula dan dijual dengan harga yang lebih mahal.

Namun semua dugaan itu tidak membuatkan beliau perputus asa. Hari ini jenama Faiza terus berkembang dengan kilang di seluruh negara dan apa yang sangat membanggakan, mereka merupakan penyumbang utama untuk rancangan Bersamamu terbitan TV3 selama hampit 10 tahun.

3. Haji Mohamad Tamin

Anda suka makan kicap tamin? Haji Mohamad Tamin adalah pengasas kicap Tamin yang menjadi kegemaran rakyat Malaysia. Perniagaan beliau bermula dengan modal sebanyak RM10 dan bantuan ahli keluarga. Kilang Kicap Tamin beroperasi di Batu Gajah Perak dan mampu untuk mengeluarkan 700 botol kicap sehari.

Selepas setahun, permintaan menjadi semakin meningkat lalu beliau meningkatkan produktiviti kepada 3500 botol sehari. Lama-kelamaan kilang tersebut tidak mampu memenuhi keperluan pasaran lalu sebuah kilang baru dibina di Kuala Kangsar, Perak dan mampu mengeluarkan 35,000 botol kicap sehari.

Pernah ditipu oleh individu yang kononnya ingin memberikan bantuan kewangan, beliau hampir kehilangan kilang yang dibina selama berpuluh tahun. Malah beliau juga hampir ditipu oleh individu yang menawarkan untuk menjadi rakan kongsi. Namun Haji Mohamad Tamin tidak berputus asa dan kini jenama Tamin telah menembusi peringkat antarabangsa dengan pasaran di United Kingdom, Jepun, Arab Saudi, dan Indonesia. Malah produk keluaran syarikat Tamin juga sudah dipelbagaikan seperti:

  • Kicap Istimewa
  • Kicap Putra
  • Kicap Putri
  • Kicap Mee
  • Kicap Lemak Manis
  • Kicap Lemak Masin
  • Kicap Perdana
  • Kicap Cair Tamin
  • Kicap Soya Istimewa
  • Sos Tiram
  • Cuka Buatan
  • Sos Cili
  • Sos Tomato
  • Asam Jawa
  • Tepung Jagung
  • Tepung Ubi Kayu
  • Garam Halus
  • Kerisik Kelapa
  • Ceriping Pedas
  • Bihun Perdana
  • Taucu
  • Cencaluk

Hanya bermodalkan RM10 untuk mengeluarkan kicap, kini Syarikat Tamin adalah sebuah syarikat bumiputera yang berjaya dan menjadi kebanggaan penduduk di Kampung Batu Gajah, Perak. Ini adalah bukti bahawa semangat dan motivasi yang berterusan adalah resepi yang paling penting untuk melakar sebuah kisah kejayaan.

Itulah dia info tentang kisah usahawan berjaya yang ingin dikongsikan. Semoga bermanfaat buat kita semua. 

kredit : Nurul Kasmadillawati Zakaria