Hakikat pengajaran daripada pandemik yang berlaku bukanlah sekadar isu remeh seperti guru makan gaji buta, isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau isu sama ada anak kita belajar atau tidak, lulus/gagal dalam peperiksaan – pengajaran akibat pandemik sewajarnya terkesan lebih mendalam dalam diri setiap individu dewasa yang boleh berfikir secara waras dan bijak.

Pandemik COVID-19 menyedarkan kita bahawa hal-hal pendidikan melibatkan anak-anak kita sebagai waris generasi masa hadapan kita dan bukan di bawah tanggungjawab guru semata. Malah, ia merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul secara bersama, merentas kementerian, jabatan, bahagian, sempadan, bangsa, agama dan politik.

Pandemik ini membangkitkan tanggungjawab untuk menjadi pemimpin kepada diri sendiri dan orang lain; hormati pandangan dan kehidupan orang sekeliling; serta prihatin, cakna dan bersangka baik dengan makhluk lain.

COVID-19 mengiakan pernyataan bahawa manusia wajib merancang, namun Tuhan yang menentukan, justeru mengingatkan dan memberi ruang kita memperbaiki kehidupan dengan membuang/mengubah norma lama, mengamal norma baharu dan menjangka/mencipta norma masa hadapan.

Pandemik COVID-19 membangkitkan kesedaran bahawa kita sebenarnya berada dalam satu sistem kehidupan, satu peradaban, satu bangsa manusia yang berfungsi untuk saling melengkapi ke arah evolusi kehidupan yang maju, hijau, madani dan lestari.

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang