Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) melancarkan kemudahan pendaftaran akaun dalam talian dan onboarding pelanggan digital serta fungsi pelaburan yang berasaskan matlamat dalam aplikasi mudah alih myASNB.
Ciri onboarding mudah alih baharu ini membolehkan warga Malaysia membuka akaun melalui aplikasi myASNB tanpa perlu berkunjung ke cawangan atau ejen ASNB. Antara ciri baru yang diperkenalkan adalah Target Labur iaitu fungsi pelaburan baharu berasaskan matlamat yang direka untuk mendorong setiap individu mencapai matlamat kewangan mereka seperti membeli hartanah, menyimpan untuk persaraan, merancang percutian atau mengetepikan sejumlah dana untuk pendidikan anak-anak.
Fungsi Target Labur dilancarkan kepada pemegang unit secara berperingkat pada 8 Oktober 2021, bermula dengan kumpulan umur 18 hingga 34 tahun dan untuk semua pengguna aplikasi myASNB bermula pada 29 Oktober 2021.
Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, sejajar dengan ciri-ciri baharu ini, ASNB melancarkan kempen #JomLabur untuk memberi ganjaran kepada pemegang unit yang menetapkan sekurang-kurangnya dua matlamat bernilai RM5,000 setiap satu.
Menurutnya, penambahbaikan aplikasi mudah alih myASNB ini adalah sebahagian daripada komitmen pihaknya untuk terus menyampaikan inovasi kepada pemegang unit. Kini sesiapa sahaja boleh membuka akaun ASNB atau mendaftar di portal dan aplikasi myASNB secara terus melalui telefon mudah alih mereka.
Melalui kempen #JomLabur, disediakan ciri-ciri yang memudahkan pemegang unit mencapai matlamat kewangan mereka melalui pelaburan yang tetap dan konsisten.
Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang