ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk melihat tahap penerimaan tingkah laku komuniti dalam penggunaan lestari terutamanya dalam amalan sisa sifar. Borang soal selidik telah diedarkan kepada 530 responden komuniti yang dipilih secara rawak di sekitar Kuantan Pahang. Analisa data dijalankan menggunakan statistik deskriptif berpandukan skala Likert iaitu nilai di antara 1 (tidak amalkan) hingga 5 (sentiasa amalkan) bagi menguji item yang digunakan dalam bahagian tingkah laku dan penerimaan responden terhadap amalan sisa sifar. Bagi setiap bahagian terdapat 14 pernyataan yang diajukan mengenai amalan sisa sifar. Kajian setiap bahagian melibatkan soal selidik berkaitan amalan dalam pembelian dan guna semula. Dalam bahagian tahap tingkah laku majoriti responden berada pada tahap yang positif iaitu 62% terhadap amalan sisa sifar. Manakala, dalam bahagian tahap penerimaan responden terhadap amalan sisa sifar juga berada pada tahap yang positif iaitu 80%. Secara kesimpulannya, penerimaan komuniti terhadap amalan sisa sifar saling berkaitan dengan tingkah laku mereka terhadap penggunaan lestari. Hasil kajian menjurus kepada sesuatu yang positif yang mana komuniti di sekitar Kuantan Pahang menyambut baik amalan sisa sifar dalam kehidupan mereka. Pihak-pihak yang terbabit mungkin boleh memperkasakan program-program sedia ada supaya lebih mesra pengguna agar komuniti Bandar Raya Kuantan Pahang keseluruhannya dapat meningkatkan amalan sisa sifar dalam penggunaan lestari demi kesejahteraan sejagat.

Kata Kunci: amalan sisa sifar, pengguna, penggunaan lestari.

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang