Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) bakal melangkah setapak lagi ke hadapan apabila mahu mendapatkan kelulusan lesen daripada Bank Negara untuk mewujudkan bank digital. Melalui kerjasama dengan Boustead Holding Berhad, ANGKASA menubuhkan MyANGKASA Digital Services untuk mendapatkan lesen bank Islamik melalui sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Presiden ANGKASA merangkap Presiden Pertubuhan Koperasi Asean (ACO) Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, melalui usaha ini ANGKASA akan menawarkan produk perbankan secara digital sepenuhnya kepada pelanggan. Bank Digital ini akan memberi tumpuan kepada segmen pasaran B40, koperasi dan perindustrian kecil dan sederhana (PKS) bagi membolehkan mereka menjadi pasaran terbesar dalam ekonomi digital. Oleh itu, ANGKASA kini sedang giat mempromosi platform digital, sesuai dengan Revolusi Industri 4.0 yang menjadikan urusan dalam talian sebagai satu kemestian pada masa kini.
Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang