GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Foto ihsan arkib NSTP

Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) adalah sektor yang paling terkesan akibat pandemik Covid-19 dan disusuli Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020, namun banyak PKS berjaya bertahan dengan mengubah haluan mengendalikan perniagaan mereka dalam talian.

Menurut laporan berita, dalam tempoh sebulan selepas PKP dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, aktiviti perniagaan dalam talian meningkat 28.9 peratus.

Banyak PKS termasuk restoran, kedai runcit, pasar raya dan peniaga menawarkan pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan kepada pengguna, yang boleh diperoleh menerusi dalam talian yang membolehkan mereka akses kepada pasaran yang lebih besar dan luas.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PKS Malaysia, Rizal Nainy berkata, penyertaan e-dagang dalam kalangan PKS meningkat sebanyak 3 peratus antara Mac dan Oktober 2020 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Manakala antara 1 Mac hingga 31 Oktober 2020, sebanyak 373,213 entiti mendaftarkan perniagaan mereka di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi kategori dalam talian.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengendali Restoran Muslim Malaysia, Datuk Jawahar Ali memberitahu Bernama, lebih 2,500 restoran atau 65% daripada jumlah 4,250 ahli seluruh negara kini turut menjalani perniagaan dalam talian. Peniaga melihat pandemik Covid-19 sebagai ‘dorongan’ bagi membawa perniagaan mereka ke platform digital.

MEMPERKASA SEMULA PERNIAGAAN

Pengusaha dan peniaga yang ingin maju dan serius wajar mempertimbangkan menyesuaikan teknologi maklumat dan komunikasi kerana ia memainkan peranan penting dalam mendorong pertumbuhan sektor PKS tidak hanya dari segi meningkatkan produktiviti dan kecekapan tetapi juga dalam memperluas jangkauan pasaran mereka.

Bagi menyesuaikan diri dengan ekonomi digital secara keseluruhan, PKS perlu memperkasa model perniagaan mereka untuk memastikan mereka mempunyai strategi, proses dan infrastruktur perniagaan yang betul untuk menyokong transformasi digital.

Ini menjadi semakin penting sekarang memandangkan pandemik yang masih dialami mempengaruhi banyak perniagaan, terutama mereka yang belum menyesuaikan digitalisasi dan belum menceburkan diri dalam e-dagang.

Sementara itu, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed, dari Pusat Pengajian Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, memuji langkah peniaga mendigitalkan operasi mereka dengan menyatakan bahawa langkah itu bukan sahaja akan menghasilkan pendapatan berpotensi lebih tinggi tetapi juga sejajar dengan aspirasi Revolusi Industri 4.0 negara ini.

Untuk rekod, Ali Baba mencatatkan jualan bernilai RM230.89 bilion dan JD.com RM165 bilion pada 11.11.2020, yang meningkat sehingga RM395.89 bilion. Oleh itu, pengusaha melaksanakan langkah tepat dalam memindahkan operasi mereka ke ekosistem digital untuk memanfaatkan pasaran dalam talian yang menguntungkan.

RAHMAT DI SEBALIKNYA

Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed juga berkata, peralihan progresif e-dagang boleh memberi kesan besar kepada pembangunan ekonomi negara dan memungkinkannya untuk menghadapi cabaran ekonomi global.

Sekiranya lebih banyak PKS beralih kepada perniagaan dalam talian, mereka akan boleh meningkatkan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada 2019, PKS menyumbang 38.9% KDNK dan 66% pekerjaan dalam negara.

Beliau berkata, pertumbuhan perniagaan dalam talian tahun ini dijangka meningkatkan pertumbuhan KDNK, yang akan memastikan ekonomi Malaysia berada di landasan yang betul untuk berkembang sebanyak 6.5% hingga 7.5% seperti yang disasarkan di bawah Belanjawan 2021.

Ramai peniaga menjalankan perniagaan menerusi dalam talian bagi meningkatkan hasil jualan masing-masing dan meningkatkan pertumbuhan perniagaan. Walaupun platform digital telah memberi aliran pendapatan kepada peniaga, ia juga membantu syarikat perkapalan dan penghantaran untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan.

STRATEGI PEMASARAN KREATIF

Seorang pensyarah Fakulti Pengkomputeran di Universiti Malaysia Pahang, Dr Rahmah Mokhtar, pula menggesa peniaga agar melaksanakan strategi pemasaran kreatif untuk menarik lebih ramai pelanggan kerana persaingan sengit dalam kalangan pemain e-dagang.

Bagi perniagaan dalam talian, produk itu sendiri memerlukan visualisasi dan foto yang boleh menarik pelanggan untuk ke laman web berkenaan. Contohnya, peniaga yang menjual murtabak semasa bulan Ramadan perlu memuat naik gambar makanan yang lazat itu untuk menarik pelanggan.

Mengubah sudut foto produk anda juga suatu tindakan baik untuk menjadikan iklan itu kelihatan lebih menarik. Jika anda tidak pandai dalam mengedit foto, anda boleh sahaja mengupah orang yang mahir untuk melakukannya agar foto itu cantik dan memikat pelanggan.

Penggunaan hashtag atau # dalam laman media sosial juga penting untuk membolehkan perniagaan seseorang menjangkau pelanggan yang disasarkan. Pengguna media sosial akan berhubung dengan perniagaan anda setiap kali mereka menaip nama produk yang anda jual di kotak carian

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang