Dianggarkan lebih 400,000 murid tahun lima dan enam di seluruh Malaysia bakal menduduki Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (MPKAFA) secara berperingkat mulai hari ini.
Jumlah itu meningkat dua kali ganda susulan penundaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) untuk murid tahun lima yang sepatutnya dibuat pada tahun 2020 yang lepas tetapi dibawa kepada tahun ini.
Ia menggantikan peperiksaan bertulis bagi lapan subjek terlibat kepada Modul Penilaian KAFA (MPKAFA) dengan tempoh dipanjangkan berbanding empat hari sebelum ini.
Langkah itu selaras dengan pengumuman Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 15 Oktober 2021 lalu yang memaklumkan penilaian dilaksanakan dari Isnin 15 November sehingga 30 November.
Ia mengambil kira nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan dalam usaha mengekang penularan wabak Covid-19.
Tinjauan mendapati, sejumlah 5,943 buah sekolah terbabit yang bertindak sebagai pusat peperiksaan telah menghantar makluman mengenai tarikh dan masa ujian itu.
Murid yang terpilih hanya perlu datang 15 minit sebelum waktu ujian untuk diperiksa suhu tubuh badan dan seterusnya diberi slip kebenaran peperiksaan daripada guru bertugas.
Kemudian murid bakal ditempatkan di kelas tertentu yang dijadikan bilik menunggu sebelum dipanggil masuk ke kelas lain sebagai bilik penilaian khusus dalam kumpulan bilangan kecil.
MPKAFA lebih mencabar daripada UPKK kerana sesi ujian secara solo dengan setiap murid dipanggil seorang demi seorang yang perlu menyerahkan slip kepada guru penilai untuk diuji .
Calon akan dinilai secara lisan di hadapan guru pemeriksa berdasarkan sukatan kurikulum KAFA JAKIM dari Tahun 3 hingga 5 dengan markah yang diperuntukkan sebanyak 75%.
Lima subjek yang terlibat iaitu Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah), Sirah, Jawi dan Khat, Adab serta Bahasa Arab manakala Tilawah, Hafazan dan Tafsir al-Quran diselesaikan sebelum MPKAFA.
Baki 25% untuk bahagian kedua MPKAFA pula meliputi penilaian sahsiah, kehadiran kelas atas talian, hasil kerja dan komitmen calon sejak awal persekolahan bermula Mac lalu.
Seperti juga UPKK, keputusan MPKAFA diterima Kementerian Pendidikan sebagai sokongan bagi kemasukan ke tingkatan satu pelbagai sekolah perdana khusus terbaik di seluruh negara termasuk pilihan 60 buah sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA), 12 sekolah berasrama penuh integrasi (SBPI) dan tiga sekolah menengah agama persekutuan (SMAP) serta sokongan kemasukan ke tujuh buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) jenis tahfiz ulul albab yang mendapat permintaan tinggi ibu bapa Muslim.
Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang