Agak mencabar untuk menyesuaikan diri dengan suasana kebiasaan baharu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kehidupan masyarakat berubah malah ada yang terasa ‘terpenjara’ di kediaman sendiri. Melalui empat fasa PKP, keadaan ini boleh memberi kesan kepada emosi dan tingkah laku jika tidak diurus dengan baik. Menurut Perunding Psikiatri Sunway Medical Centre Velocity iaitu Dr Lim Wai Jenn, setiap perubahan yang berlaku dalam kehidupan boleh memberi tekanan hingga menyebabkan individu mengalami kebimbangan dan kemurungan. Dr Lim menyuarakan bahawa adalah perkara biasa bagi individu mengalami gangguan ketidakstabilan emosi atau kerisauan dan kebimbangan yang sederhana dalam kehidupan harian. Namun, jika gangguan ini kerap berlaku atau berlanjutan hingga menjejaskan tidur, selera makan, keupayaan untuk berfungsi dan keseronokan melakukan sebarang aktiviti, ini berkemungkinan tanda masalah kesihatan mental yang lebih serius.
Dr Lim berkata, ada juga individu mengalami serangan panik apabila mempunyai gejala fizikal seperti sesak nafas, menggeletar, tekanan di dada, jantung berdebar-debar, menggeletar, berpeluh atau hampir pengsan. Biasanya gejala ini berlaku secara tiba-tiba tanpa dijangka dan tiada sebarang punca. Sebilangannya mungkin berasakan mereka mengalami serangan jantung. Gejala ini boleh berulang tanpa amaran. Dalam situasi ini, mereka disarankan berjumpa pakar psikiatri untuk mendapatkan perundingan bagi mengurangkan gangguan kehidupan individu terbabit. PKP tidak menghalang pesakit mendapatkan rawatan dan berjumpa doktor. Komunikasi berkesan amat penting supaya pesakit mengetahui masih ada yang mengambil berat tentang dirinya dan bersedia membantu mengurangkan masalah yang dialami. Pendekatan saling mengambil berat dan memberi perhatian antara satu sama lain boleh membantu mengharungi PKP selain menitikberatkan penjagaan kesihatan mental dan emosi. Malahan kanak-kanak turut tidak terkecuali terkesan dengan penularan Covid-19 dan PKP.
Dalam keadaan ini, ibu bapa berhadapan cabaran menjaga anak bagi memastikan mereka tidak mengalami masalah gangguan emosi dan kecelaruan tingkah laku. Aktiviti rutin harian yang teratur dapat membantu membentuk tingkah laku yang sihat dan mengurangkan kebosanan, kerunsingan dan kegelisahan anak-anak. Ibu bapa wajar kerap berkomunikasi dengan anak-anak demi kesihatan mental dan emosi mereka. Wujudkan ruang serta peluang kepada anak-anak untuk berkongsi sebarang perasaan mereka yang mana sekali gus boleh mengurangkan tekanan yang dialami. Di samping itu, ibu bapa boleh memantau atau mengehadkan penggunaan media sosial anak-anak jika mendapati mereka terlebih pendedahan dan memperoleh maklumat yang tidak tepat hingga membangkitkan negativiti.
Tips Penjagaan Kesihatan Mental Semasa PKP
A. Ketahui Fakta
Lazimnya minda mudah tertekan dan terganggu apabila menghadapi situasi yang samar-samar seperti Covid-19.
Fakta diperlukan supaya minda boleh merancang, bersedia dan menyelesaikan masalah, namun perlulah merujuk kepada sumber yang dipercayai serta tepat.
B. Tumpu kepada Maklumat untuk Tindakan Berikutnya
Atasi pemikiran negatif dengan memperoleh maklumat tepat untuk melakukan aktiviti berfaedah.
Sediakan senarai tugas kerana tindakan ini mampu membuatkan rasa lebih bertenaga dan selamat.
C. Rutin
Cara terbaik untuk kekal tenang dan berfokus ialah mengekalkan rutin harian seperti bersenam, makan, membaca buku dan tidur.
Aktiviti ini dapat mengelakkan kebosanan, keresahan dan berfikir secara berlebihan.
D. Menapis Maklumat
Pilih maklumat yang berkualiti dan diperlukan saja bagi mengelakkan terdedah kepada maklumat tidak tepat yang akhirnya mengganggu emosi.
E. Hubungan Sosial
Memperkukuhkan hubungan sosial dengan ahli keluarga dan rakan kerana ia dapat mengurangkan tekanan sekali gus meningkatkan tahap kesihatan.
Hubungan ini boleh dieratkan menerusi panggilan telefon dan komunikasi menggunakan internet.
F. Badan dan Minda Sihat
Tidur mencukupi, diet yang sihat dan senaman adalah penting untuk menguatkan sistem imun badan bagi menghalang tekanan dan gangguan kebimbangan.
G. Ketenangan
Melakukan aktiviti yang memberikan ketenangan sama ada menerusi senaman pernafasan, mendengar muzik, memasak, berkebun dan sebagainya dapat mengurangkan tekanan serta berasa lebih tenang.
Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang