HASIL kajian menunjukkan betapa kanak-kanak hari ini mempunyai kuasa untuk mendapatkan apa yang mereka mahu. - GAMBAR hiasan
Sebahagian kanak-kanak hari ini mempunyai kuasa untuk mendapatkan kehendak

Era digital hari ini membawa banyak pengaruh dalam membentuk gaya hidup dan rutin harian setiap individu semua peringkat umur, masing-masing merasai tempias perkembangan teknologi.

Melihat dari sudut yang lebih luas, penggunaan Internet kini tidak lagi terhad di meja kerja atau di depan komputer semata-mata. Wujudnya pelbagai pilihan peranti digital kini memberi nilai tambah kepada gaya hidup masyarakat. Semuanya mudah, pantas dan boleh dicapai tanpa had masa atau tempat.

Bagaimanapun, perubahan gaya hidup, tingkah laku, penerimaan dan tabiat dilihat ketara dalam kalangan kanak-kanak. Menurut kajian tahunan dibuat syarikat media digital kanak-kanak terkemuka, TotallyAwesome, lebih 8 daripada 10 kanak-kanak di Malaysia memilih untuk mempunyai akses Internet berbanding televisyen.

Kajian berkenaan pengaruh digital dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia itu juga menganalisis tingkah laku, penggunaan media dalam talian, penggunaan peranti, kandungan dan pilihan jenama.

Jelas Ketua Pegawai Eksekutif TotallyAwesome, Quan Nguyen, terdapat 3 fakta utama berhubung pengaruh digital yang harus diketahui masyarakat umum kini. Pengetahuan jelas mengenai fakta berkaitan perlu untuk membantu memperkasa peranan ibu bapa dalam mendidik generasi muda berkualiti.

PERANTI PINTAR

Sama ada kita sedar atau tidak, 6 daripada 10 kanak-kanak sudah memiliki telefon pintar, manakala bakinya sudah memiliki tablet malah televisyen di ruangan sendiri. Angka ini mencatatkan peningkatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kanak-kanak lebih cenderung memilih peranti mudah alih berbanding peranti jenis tablet dan televisyen. Dengan angka penembusan ke talian mudah alih yang tinggi, maka tidak hairanlah jika saluran digital menjadi sumber maklumat utama. Lebih 90 peratus kanak-kanak memaklumkan bahawa mereka tahu mengenai kewujudan permainan baru yang dilancarkan di Internet.

KUASA IKLAN

Individu dewasa sendiri mudah terpengaruh dengan iklan di Internet, inikan pula kanak-kanak. Sejak dahulu, mana-mana syarikat pengeluar produk lebih cenderung memilih iklan di televisyen untuk merangsang keinginan penonton, khususnya golongan kanak-kanak. Bagaimanapun, kajian ini membuktikan berlakunya perubahan besar dalam bidang pengiklanan. Kesan daripada pengiklanan dalam talian, 8 dari 10 ibu bapa mengakui membeli produk untuk anak selepas terlihat iklan dalam talian. Menurut Quan Nguyen, pihaknya melihat sendiri bagaimana kanak-kanak di Malaysia teruja setiap kali melayari Internet. Dengan adanya telefon pintar, mereka lebih mudah dipengaruhi dengan iklan. Pasaran jenama juga lebih mudah mengaut keuntungan.

HAMPIR 60 peratus kanak-kanak sudah memiliki telefon pintar sendiri.
Majoriti kanak-kanak sudah memiliki peranti pintar sendiri

KUASA BELI

Sebahagian besar kanak-kanak masih meminta ibu bapa sendiri membeli apa yang mereka kehendaki, namun ada di antaranya cenderung mendapatkan apa yang dilihat di atas talian dengan menggunakan wang mereka sendiri. Justeru, ibu bapalah yang seakan-akan mengeluarkan belanja. Anak-anak zaman kini semakin cenderung mempengaruhi ibu bapa semasa membuat keputusan. Mereka mempengaruhi kuasa beli dari segi pilihan lokasi setiap kali makan di luar, jenis makanan serta filem yang hendak ditonton di pawagam.

Dalam usaha mendidik anak bangsa Generasi Alpha kini, ibu bapa perlu memainkan peranan sewajarnya agar konsep digitalisasi dimanfaatkan anak-anak sebaik mungkin kerana merekalah bakal pewaris masa hadapan Negara.

Kredit : Intan Hazlina, Pensyarah Kanan, Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan Pahang